Kes culik- Nayati Moodliar
Nayati bebas selepas tujuh hari diculik
NAYATI Shamelin Moodliar bersama Mohamad Asif Abdullah selepas ditemui
oleh isterinya, Norzaini Zainul Abidin di luar tandas Hentian R&R
Rawang, semalam.
KUALA LUMPUR 3 Mei - Kanak-kanak lelaki warga
Belanda, Nayati Shamelin Moodliar yang dilaporkan diculik ketika
berjalan kaki berseorangan ke Sekolah Antarabangsa Mont Kiara pada
Jumaat lalu, ditemui selamat di Restoran Jejantas Sungai Buloh di Lebuh
Raya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini hari ini.
Difahamkan, Nayati, 12, dibebaskan oleh penculiknya setelah keluarga
kanak-kanak itu membayar wang tebusan berjumlah RM300,000 pada tengah
hari semalam.
Kanak-kanak malang itu yang dibebaskan dalam keadaan selamat dan
tidak dicederakan ditemui oleh seorang wanita, Norzaini Zainul Abidin,
31, di luar tandas kawasan rehat itu kira-kira pukul 7.30 pagi ini.
Nayati yang berjaya menghubungi ibunya dengan bantuan Norzaini telah
dipertemukan dengan ibu bapanya di hentian itu (arah utara), kira-kira
25 minit kemudian.
Utusan Malaysia difahamkan, Nayati ditemui oleh Norzaini di Hentian
Rehat dan Rawat (R&R) Rawang arah selatan sebelum dibawa ke Restoran
Jejantas Sungai Buloh.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, penculik
Nayati telah membebaskan kanak-kanak itu setelah keluarganya membayar
wang tebusan, namun beliau tidak menyebut jumlah tebusan itu.
"Beberapa hari lalu, penculik telah menghubungi keluarga Nayati
meminta mereka membayar wang tebusan dan permintaan itu dipenuhi
semalam. Wang tunai itu diserahkan di sebuah kawasan di Cheras.
"Mangsa yang ditinggalkan bersama telefon bimbit milik penculik telah
dipertemukan dengan ibu bapanya di Sungai Buloh pada pukul 7.55 pagi
ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala
Lumpur, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Nayati yang berpakaian seragam sekolah dilaporkan
hilang dipercayai diculik oleh dua lelaki tempatan ketika berjalan kaki
berseorangan ke sekolahnya.
Bapanya yang bekerja sebagai pengurus konsultan, Sham Moodliar, 41,
memaklumkan seorang saksi telah melihat anaknya itu ditarik oleh dua
lelaki dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kereta Proton Gen-2
berwarna hitam.
Kehilangan Nayati mendapat liputan luas media massa dan menarik
perhatian ramai pihak yang bimbang terhadap keselamatannya termasuk
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melalui Twitternya
menyeru orang ramai membantu mengesan kanak-kanak itu.
Mengulas lanjut kes tersebut, Mohmad berkata, polis setakat ini belum
dapat memberkas suspek tetapi usaha mengesan mereka sedang giat
dilakukan.
"Pihak polis yang cuba sedaya upaya untuk memburu suspek dan menyelesaikan kes penculikan ini.
"Setakat ini, polis belum mengambil keterangan daripada Nayati kerana
kanak-kanak itu masih dalam keadaan trauma," katanya sambil memberitahu
Nayati sudah dibawa pulang oleh keluarganya.
No comments:
Post a Comment