Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula
apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah
terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir
abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari
mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam.
Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396,
beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan
kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan
dengan muara sungai Melaka.
Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana
kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing
Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah
menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan.
Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur
dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot
yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara
yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun
1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat
perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.
Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan
Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka
adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta
Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah
pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera
serta timah dari Tanah Melayu.
Tarikh Penubuhan Melaka pada tahun 1262

No comments:
Post a Comment