Wednesday, 11 April 2012

Kejadian letupan bom di Hatyai: 100 kereta musnah dalam letupan bom

Keadaan kereta dan motosikal yang musnah dalam 
kejadian letupan bom di Hatyai, Sabtu lalu. 

Majoriti kenderaan rosak diletakkan di parkir bawah tanah plaza

HATYAI (Thailand): Kira-kira 100 kenderaan majoritinya kereta musnah terbakar, manakala puluhan yang lain turut rosak di ruang parkir bawah tanah bangunan Lee Garden Plaza, di sini, berikutan kejadian letupan bom yang berlaku Sabtu lalu. 

Difahamkan, kebanyakan kenderaan yang rosak diletakkan di tingkat dua dan tiga ruang bawah tanah bangunan 33 tingkat itu, manakala lebih 500 motosikal yang diletakkan di tingkat satu bawah tanah turut menerima kesan.  

Ia disaksikan sendiri wartawan akhbar ini yang berjaya menyelinap masuk ke ruang terbabit ketika pihak berkuasa terutama polis sibuk memindah keluar kenderaan daripada kawasan itu, terutama motosikal milik pelanggan dan petugas pasar raya yang masih berkeadaan baik.

Berdasarkan tinjauan, kebanyakan motosikal yang diletakkan di ruang bawah tanah bersebelahan laluan masuk ke tempat letak kenderaan di bangunan itu masih berkeadaan baik.


Bagaimanapun, kawasan di sebelah dalam iaitu di bawah ruang pusat beli-belah terutama di aras dua bawah tanah yang menjadi pusat letupan dilihat teruk menerima kesan.


Malah, satu lubang besar bersaiz sebuah kereta turut terbentuk pada lantai ruang B2, yang disahkan polis Thailand sebagai lokasi bom diletakkan di dalam sebuah kereta dipercayai jenis Honda Jazz, meletup Sabtu lalu.

Turut ditemui, bangkai kereta terbabit yang hanya tinggal rangka dan enjin, dilaporkan melayang lebih 30 meter ke ruang letak kereta di tingkat tiga bawah tanah bangunan itu.

Tinjauan di ruang terbabit yang masih diselubungi asap serta bau hangit dengan hanya diterangi beberapa lampu disediakan polis, mendapati tidak kurang 10 kereta dengan nombor pendaftaran Malaysia masih berada di kawasan bawah tanah terbabit.


Di luar bangunan terbabit pula tidak kurang 200 pemilik motosikal dibawa masuk secara berperingkat ke ruang letak kereta dengan ditemani polis untuk mengesan dan menuntut kenderaan masing-masing yang ditinggalkan selepas kejadian Sabtu lalu.


Semua motosikal terbabit dibawa keluar satu persatu dan dikumpulkan di bahagian tepi sebelah kanan bangunan bersebelahan pusat beli-belah berkenaan, sebelum dituntut pemiliknya bermula jam 12 tengah hari.


Sementara itu, Ketua Polis Pelancong Thailand, Jen (Pol) Worapong Chewprecha, ketika ditemui mengesahkan pihaknya akan mula mengeluarkan sisa akibat kejadian letupan di bawah ruang pusat beli-belah terbabit hari ini.


Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan jaminan sama ada kereta yang terperangkap di ruang bawah tanah itu dapat dikeluarkan hari ini, atau tidak.


Dalam kejadian pada jam 1 tengah hari Sabtu lalu, seramai tiga mangsa, termasuk dua rakyat Malaysia terbunuh, manakala 10 lagi cedera.



Tuesday, 10 April 2012

Sejarah Melaka

Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.


 Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.

Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu.



 Tarikh Penubuhan Melaka pada tahun 1262